KUCHING, Mei 15: Kerajaan negeri berniat menjadikan Sarawak yang populasi penduduknya sekitar 2.7 juta orang sebagai negeri yang terbaik prestasi ekonominya di Malaysia dalam tempoh 12 tahun lagi.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian dengan beliau dan rakan seperjuangannya dalam kabinet negeri ini mempunyai niat itu yang disasarkan dicapai pada 2030.
“Adalah menjadi niat rakan seperjuangan dan saya sendiri iaitu menjelang 2030, Sarawak akan berada di hadapan sebagai negeri yang terbaik di Malaysia dari segi prestasi ekonominya,” katanya ketika merasmikan penutupan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2018, di sini, hari ini.
Abang Johari percaya sasaran terbabit mampu dicapai berdasarkan tiga faktor iaitu faktor pertama negeri ini memiliki sumber semujadi yang mencukupi termasuk cahaya matahari bagi menjana tenaga elektrik mengunakan solar dan sumber air yang bukan sahaja dapat menjana elektrik tetapi juga bagi menghasilkan bahan api hidrogen mengunakan teknologi baharu.
“Faktor kedua ialah populasi demografi penduduk Sarawak yang purata sehingga mencecah 60 peratus populasi terbabit adalah golongan belia dengan mereka ramai berbakat dan kreatif dan hanya perlu dibantu mendapatkan pekerjaan,” katanya.
Faktor ketiga pula ialah lokasi negeri ini yang secara strategik terletak di kawasan pembangunan ekonomi baharu dunia kerana tidak jauh dari gergasi ekonomi baharu iaitu India, China dan Asia serta akan menjadi pasaran besar yang berpotensi bagi diterokai penduduk negeri ini walaupun bilangan mereka hanya sekitar 2.7 juta orang sahaja.
“Walaupun populasi kita (Sarawak) hanya seramai 2.7 juta orang, tetapi biarlah kita berkongsi sumber dan ekonomi negeri ini dengan negara jiran. Kalau ini dapat dicapai, saya rasa Sarawak akan berada di halatuju strategi pembangunan ekonomi yang betul,” katanya.
Namun Abang Johari percaya segalanya bergantung kepada penduduk negeri ini kerana walaupun tanpa sumber semulajadi yang banyak juga ada negara lain tetap dapat cepat membangun seperti Jepun, Korea Selatan dan Singapura.
Sehubungan itu, tahun hadapan beliau bercadang mengadakan lagi IDECS di negeri ini tetapi dengan konteks yang berbeza kerana acara terbabit dapat memberikan gambaran tentang tahap sebenar pemahaman penduduk negeri ini terhadap ekonomi digital yang dapat mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri ini. — DayakDaily