Oleh Chris Bishop
KUCHING, 31 Mei: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyeru kepada pengguna media sosial agar menggunakan platform media sosial untuk tujuan positif.
Pada Perutusan Hari Gawai Dayak 2021 beliau sempena Hari Gawai Dayak yang akan diraikan esok, beliau berkata, media sosial seharusnya digunakan ke arah pembangunan Negeri Sarawak dan pengukuhan perpaduan rakyatnya.
“Ia penting kerana dalam era Internet pada masa kini begitu mudah untuk menyalakan api perpecahan antara kaum dengan hantaran-hantaran di media sosial yang tidak berasas,” kata Abang Johari.
Bersempena Perayaan Gawai, beliau juga menyeru masyarakat Dayak supaya berusaha ke arah perpaduan kaum Dayak dalam mengejar impian untuk menjadi sebuah masyarakat yang maju dan progresif.
Katanya, pemimpin-pemimpin Dayak terdahulu seperti mendiang Datuk Seri Tra Zehnder telah berjuang untuk menjadikan Gawai Dayak sebagai ‘platform’ penyatuan dan identiti kaum Dayak.
“Oleh itu, saya amat berharap masyarakat Dayak akan terus merapatkan barisan, terutamanya dalam kalangan golongan muda dan berusaha bersama ke arah perpaduan kaum Dayak selari dengan impian pemimpin-pemimpin terdahulu.
“Bala menyadi, aku gaga amat ati enti bansa Dayak ulih begempong serta ulih sama-sama ngaduka pemansang nitihka pemansang dunya ti begunaka teknologi digital.
“Aku amat arapka kitak menyadi ulih beserakup serta anang pechah tang terus ngaduka diri segulai sejalai enggau bansa bukai nuju pemansang,” katanya dalam bahasa Iban.
Tambah Abang Johari lagi, bukanlah mudah untuk membina perpaduan dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama tetapi Sarawak telah membuktikan mampu melakukannya.
Jelas beliau, perpaduan dan keharmonian kaum dalam masyarakat majmuk tidak datang bergolek dan rakyat harus bersama ke arah perpaduan.
Justeru katanya, budaya hormat-menghormati adalah tonggak perpaduan di Sarawak.
“Sempena dengan Perayaan Gawai Dayak tahun ini, bagi pihak saya sendiri, isteri dan keluarga, saya mengucapkan salam sejahtera dan selamat menyambut Hari Gawai 2021 kepada semua Anak Sarawak keturunan Dayak di mana sahaja saudara dan saudari berada.
“Selamat Gawai Dayak, Gayu Guru, Gerai Nyamai, Lantang Senang Nguan Menua,” kata Abang Johari. — DayakDaily