Klinik kesihatan di Hospital Pengajar Unimas dijadual siap Mei 2023 – Fadillah

Fadillah ketika ditemui di tapak Projek Hospital Pengajar Unimas.

KOTA SAMARAHAN, 26 Okt: Pembinaan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) secara keseluruhan dijadual siap pada 2025, kata Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof.

Namun katanya, terdapat permintaan dari Unimas agar klinik kesihatan yang merupakan sebahagian daripada projek dapat disiapkan pada Mei 2023.

“Kalau mengikut kontrak, ia dijadual siap pada September tahun hadapan.


“Oleh itu saya minta pengarah projek dan Jabatan Kerja Raya serta Unimas untuk berbincang supaya mereka dapat mencari jalan untuk mencapai sasaran pada Mei.

“Kalau dapat dilaksanakan, ia bukan hanya memberi manfaat kepada pelajar-pelajar perubatan Unimas tapi orang ramai di kawasan Samarahan,” katanya ketika ditemui dalam lawatan ke tapak projek hari ini.

Menurut Fadillah, klinik itu nanti akan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan asas kesihatan kepada orang awam.

Selesai lawatan ke tapak projek, Fadillah seterusnya menghadiri Majlis Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia di DeTAR Putra, Unimas.

Seramai hampir 6,500 pelajar Unimas telah diluluskan permohonan untuk mendapatkan Peranti Siswa.

Secara keseluruhannya, seramai 7,400 pelajar di negeri ini akan menerima peranti ini dalam masa terdekat. — DayakDaily