KKR komited bekerja bersama rakyat laksana agenda pemulihan ekonomi

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 1 Sept: Kementerian Kerja Raya (KKR) komited dalam melaksanakan agenda pemulihan ekonomi bagi industri pembinaan dengan bekerja bersama rakyat.

Menterinya Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ia seperti saranan Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan pembentukan Kabinet Jumaat (27 Ogos) lalu.

“Dalam Mesyuarat Kabinet hari ini juga, Perdana Menteri telah mengarahkan semua kementerian supaya menetapkan sasaran dan program yang hendak dilaksanakan, dalam tempoh dua minggu ini.


“Ia meliputi sasaran untuk jangka pendek dan jangka panjang berorientasikan pencapaian keberhasilan, bagi membuktikan pencapaian awal 100 hari pertama seperti ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam mesyuarat Poskab pertama hari ini tambah Fadillah, pengurusan KKR telah diminta supaya menetapkan indeks prestasi utama (KPI).

Katanya, ini untuk memastikan semua projek dapat dilaksanakan segera dan memudah cara proses pelaksanaannya demi memulihkan ekonomi secepat mungkin.

“Semua peringkat dalam KKR dan agensinya perlu peka dengan keperluan semasa dalam bekerja bersama rakyat.

“Contohnya, memfokuskan kepada peningkatan infra rakyat dari segi jaringan keterhubungan dan juga keselesaan serta keselamatan,” ujar beliau.

Dalam kenyataan itu, Fadillah berkata tumpuan akan terus diberikan kepada projek seperti Pan Borneo Sarawak dan Pan Borneo Sabah.

Ini termasuk Central Spine Road (CSR) dan projek-projek jalan lain yang berada di bawah bidang kuasa KKR. — DayakDaily