KKM: Tiada peningkatan kes jangkitan influenza

A stethoscope. - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay
Advertisement

KUCHING, Dis 31: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyangkal tuduhan peningkatan jangkitan influenza seperti yang tular dalam kalangan pengguna media sosial di Malaysia kini.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan media hari ini berkata tiada rekod bagi setiap satu kes jangkitan influenza yang berlaku di Malaysia.

“Walau bagaimanapun, KKM masih memantau aktiviti influenza ini dengan menggunakan data proksi yang direkodkan dari aktiviti survelan melibatkan beberapa lokasi sentinel dikenalpasti dari seluruh negara,” katanya.

Advertisement

Menurut Noor Hisham, pemantauan aktiviti influenza ini dilakukan sepanjang tahun bagi mengenalpasti trend jangkitan influenza di Malaysia dan mengesan sekiranya terdapat perubahan luar biasa pada virus influenza ini.

Katanya, pemantauan survelan influenza meliputi kadar konsultasi kes ‘influenza like-illness’ (ILI) dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan severe acute respiratory infection (SARI).

“Selain itu, kejadian wabak yang berkaitan dengan jangkitan saluran pernafasan juga dipantau secara harian.

“Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga bertanggungjawab bagi memantau sebarang perubahan kepada virus influenza yang terdapat di Malaysia,” katanya lagi.

Walaupun terdapat peningkatan yang direkod dari aktiviti survelan, kata beliau, namun ia masih berada dalam julat normal dan hampir sama dengan tahun-tahun sebelumnya.

Influenza merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selsema atau flu, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Oleh itu, penularan menjadi lebih mudah berlaku di tempat-tempat yang padat seperti sekolah, asrama, tempat kerja tertutup, institusi latihan, serta kem-kem tentera atau polis.

KKM menasihati orang awam secara amnya dan golongan berisiko tinggi secara khususnya untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan oleh kebanyakan fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara. — DayakDaily

Advertisement