KKM meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas penjualan air zam zam

Water. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUALA LUMPUR, Dis 9: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas penjualan air zam zam berikutan Kedutaan Kerajaan Arab Saudi melarang penjualan air zam-zam di mana-mana kedai termasuklah kedai-kedai buku di sekitar Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia.

Menurut satu kenyataan media hari ini, air zam zam diperolehi dari bawah tanah dan dikategorikan sebagai air mineral semulajadi seperti termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Pengimportan air mineral semulajadi memerlukan lesen punca air serta kelulusan dan pengesahan daripada pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

“Kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan pengedaran air zam zam secara percuma kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat untuk kegunaan persendirian dalam kuantiti yang terhad semasa berlepas dari Arab Saudi. Sehubungan itu, penjualan air zam zam tidak dibenarkan di Malaysia,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah melalui kenyataan media tersebut.


Beliau bertambah, dalam hal ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah bersetuju supaya KKM mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam memandangkan ia di bawah bidang kuasa KKM.

“Selaras dengan ini, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam berdasarkan Seksyen 4(1)(f), Akta Makanan 1983. Hasil penguatkuasaan yang telah dijalankan sejak tahun 2012 sehingga 31 Oktober 2017 di seluruh negara, sejumlah air zam zam bernilai RM 58,191.80 telah dirampas. KKM sedang meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas penjualan air zam zam.”

Dr Noor Hisham juga berkata, di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana orang yang disabitkan kesalahan menjual air zam zam boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang pertanyaan mengenai isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq. — DayakDaily