KKM menafikan dakwaan pengamal perubatan dipenjara kalau gagal keluarkan preskripsi

Dr Dzulkefly Ahmad

KUCHING, Dis 2: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyangkal dakwaan bahawa pengamal perubatan akan dikenakan hukuman penjara sekiranya tidak mengeluarkan preskripsi atas permintaan pesakit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefli Ahmad menerusi kenyataan media semalam berkata, pesakit mesti mematuhi prosedur yang telah ditetapkan sebelum satu preskripsi boleh dikeluarkan.

Beliau merujuk kepada artikel yang disiarkan beberapa berita portal pada Nov 29 berhubung dakwaan itu.


“Sebelum satu preskripsi boleh dikeluarkan, pesakit mesti terlebih dahulu menjalani sesi konsultasi dengan seorang pengamal perubatan berdaftar.

“Konsultasi merupakan asas untuk preskripsi dikeluarkan kepada pesakit.

“Ini bermaksud pesakit tidak sewenang-wenangnya boleh berjumpa dengan pengamal perubatan berdaftar dan menuntut apa jua preskripsi dikeluarkan,” katanya.

Menurut Dzulkefly, Akta Racun 1952 memperuntukkan bahawa seorang pengamal perubatan berdaftar, pengamal pergigian berdaftar atau pegawai veterinar boleh membekalkan racun (ubat) untuk tujuan rawatan pesakitnya atau pelanggannya.

Di samping itu, tambah beliau, Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019 antara lain memperkenalkan peruntukan baru yang mewajibkan pengamal perubatan berdaftar untuk mengeluarkan preskripsi sekiranya diminta oleh pesakitnya.

“Niat peruntukan ini adalah bagi memastikan hak pesakit dijamin dengan diberi pilihan setelah selesai sesi konsultasi.

“Ia untuk menentukan tempat mendapatkan bekalan ubat bagi rawatannya, samada di fasiliti perubatan itu sendiri atau di sebuah farmasi luar,” katanya.

Mengulas isu yang sama, KKM kata Dzulkefly, juga ambil maklum bantahan beberapa pihak terhadap jenis hukuman yang dikenakan sekiranya peruntukan ini tidak dipatuhi.

Tegas beliau, perkara ini akan dibincangkan dengan Pengurusan Tertinggi KKM, Majlis Penasihat Kesihatan (HAC) dan Kamar Peguam Negara.

“KKM bersetuju untuk meneliti semula perkara ini dan akan membentangkan cadangan penambahbaikan dalam masa terdekat,” ujar Dzulkefly lagi. — DayakDaily