KKM laksanakan pemberian vaksin pneumokokal untuk kanak-kanak mulai 1 Disember 2020

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 24 Nov: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanaan pemberian vaksin pneumokokal di bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk kanak-kanak di semua Klinik Kesihatan KKM di seluruh negara mulai 1 Disember 2020.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemberian vaksin pneumokokal bertujuan untuk mengurangkan kadar
morbiditi dan mortaliti akibat penyakit pneumokokal di kalangan kanak-kanak bawah 5 tahun.


“Ini seterusnya dapat mengurangkan kos rawatan penyakit pneumokokal dan komplikasinya.

“Walaupun penyakit pneumokokal boleh dirawat dengan pemberian antibiotik, namun terdapat beberapa strain bakteria pneumococcus yang
mempunyai kerintangan terhadap antibiotik.

“Pemberian vaksin pneumokokal adalah kaedah paling berkesan untuk menghalang jangkitan bakteria pneumokokus dan secara tidak langsung mengurangkan kerintangan terhadap antibiotik,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, vaksin pneumokokal akan diberikan sebanyak 3 dos iaitu 2 dos primer pada umur 4 bulan dan 6 bulan, diikuti dengan 1 dos penggalak pada umur 15 bulan.

Jelas Dr Noor Hisham lagi, kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya adalah layak menerima suntikan vaksin pneumokokal di klinik kesihatan KKM.

“Ibubapa perlu membuat temujanji dengan klinik kesihatan KKM bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan kepatuhan kepada normal baharu dalam usaha mencegah penularan penyakit COVID-19,” ujar beliau.

Pemantauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di peringkat global menunjukkan sehingga 30 Jun 2020, terdapat 156 buah negara yang telah menyenaraikan vaksin pneumokokal konjugat (PCV) di dalam Program Imunisasi Kebangsaan mereka.

Tegas Dr Noor Hisham, seperti vaksin-vaksin lain yang digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan, vaksin pneumokokal adalah vaksin yang berkesan dan selamat.-DayakDaily