KKM kesan sembilan kluster, 823 kes positif baharu hari ini

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA, 25 Okt: Sembilan cluster baharu dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini dengan empat daripada dikesan di Sabah manakala selebihnya dikesan di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor dan Terengganu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes positif hari ini kembali kepada angka tiga digit dengan 823 kes baharu dilaporkan selepas merekodkan angka empat digit semalam.

“Jumlah kes baharu ini menjadikan kumulatif kes positif di seluruh negara meningkat kepada 26,565 kes dengan kebolehjangkitan sebanyak 9,202 kes,” katanya.

Menurut beliau, Sabah kekal mencatatkan jumlah kes baharu tertinggi iaitu sebanyak 553 kes dari jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan hari ini.

Bagaimanapun jumlah tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 356 kes (40 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes baharu yang dilaporkan di Sabah semalam.

“Penurunan jumlah ini didorong oleh jumlah kes baharu yang dicatatkan di Penjara Kepayan, Kota Kinabalu menurun daripada 434 kes baharu semalam kepada 67 kes baharu hari ini.

“Namum begitu, jumlah ini masing tinggi berbanding negeri lain dan usaha gigih dilakukan untuk mengesan lebih banyak kes diteruskan di seluruh Sabah yang sehingga kini mempunyai 17 Zon Merah,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak lapan kematian turut dilaporkan hari ini dengan semua kematian tersebut dilaporkan membabitkan warga tempatan di Sabah menjadikan kumulatif kematian dilaporkan akibat Covid-19 meningkat kepada 229 kematian.

“Tiga kematian dilaporkan di Hospital Duchess of Kent melibatkan dua orang lelaki masing-masing berusia berusia 77 dan 68 tahun dengan seorang daripada mereka mempunyai penyakit darah tinggi, dislipidemia dan gaut serta seorang wanita warga emas berusia 80 tahun.

“Selain itu, masing-masing dua kematian juga di laporkan di Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Tawau melibatkan tiga lelaki berumur 34 hingga 59 tahun dan seorang wanita berumur 74 tahun.

Tambah Dr Noor Hisham, satu lagi kes kematian iaitu yang ke-224 membabitkan pesakit kes ke-14,023, seorang wanita berusia 70 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis yang meninggal di Hospital Lahad Datu.

Beliau berkata, sebanyak 579 kes dilaporkan telah sembuh hari ini menjadikan jumlah kes sembuh daripada wabak tersebut dilaporkan sehingga kini meningkat kepada 17,134 kes atau 64.5 peratus.

“Sebanyak 99 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 30 kes memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya. — DayakDaily