Kilat Boy juara tinju 57 kg di Pesta Pulau Pinang

Daeloniel McDelon Bong

KUCHING, 2 Jan: Kilat Boy Daeloniel McDelon Bong menepati ramalan apabila berjaya menggondol pingat emas kategori 57 kilogram (kg) pada Kejohanan Tinju Antarabangsa Pulau Pinang di Pesta Pulau Pinang di sini malam tadi.

Daeloniel yang mewakili Majlis Sukan Negara (MSN) menundukkan peninju Tentera Darat, Jemis Wong Lee Onn menerusi tiga pusingan membabitkan aksi serangan sengit antara kedua-dua pihak.

Anak kelahiran Sri Aman berusia 23 tahun ketika ditemui TVS berkata dia berbangga dengan kejayaan itu kerana tidak menjangkakan untuk mencipta kemenangan ketika berdepan lawan lebih berpengalaman.


“Pada pusingan pertama saya terus mengasak lawan sehingga dia berasa takut dan saya kekalkan mementum sehingga pusingan ketiga.

“Walaupun tahu saya mendahului, cuma saya takut perlawanan akan sengit dan saya cuba kekalkan fokus saya selain buat yang terbaik dalam ketiga-tiga pusingan,” katanya.

Dalam pada itu, Daeloniel akan menyertai kategori baharu iaitu 54 kilogram buat pertama kali di pentas Piala Malaysia di Nilai bermula hujung Januari 2023.

Beliau yang juga pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 itu mengakui keputusan tersebut diambil sebagai persediaan mengharungi kejohanan Sukan SEA yang turut dianjurkan pada tahun ini.

“Ini adalah cabaran baharu bagi saya berikutan sebelum ini sudah biasa terlibat dalam kategori kejohanan 56, 57 dan 60 kg sebelum ini.

“Saya tidak mahu terlalu selesa dengan kedudukan terkini bagi mengelakkan rasa terlalu yakin di setiap perlawanan,” ujarnya. — DayakDaily