KUCHING, Mei 31: Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKR) menasihati penguna jalanraya terutama yang balik kampung sempena cuti perayaan ini dan yang akan menggunakan perkhidmatan feri untuk bersabar dan bertolak ansur ketika beratur menunggu feri.
Menurut kenyataan dari JKR hari ini, peningkatan aliran trafik di pangkalan Feri Sebuyau/Triso di Bahagian Samarahan telah bermula dari semalam dan pengguna diingatkan supaya bersabar dan bertolak ansur ketika menuju ke destinasi masing-masing pada musim perayaan dan cuti sekolah ini.
“Peningkatan jumlah kenderaan dapat dilihat bermula dari awal pagi semalam namun keadaan masih lagi terkawal dan ini menyebabkan kenderaan berbaris panjang semasa menunggu giliran menggunakan feri untuk menyeberangi Batang Lupar dari Sebuyau Bahagian Samarahan ke Triso Bahagian Betong,” kata kenyataan itu.
Walaupun demikian, JKR berkata jabatan itu akan berusaha untuk mempercepatkan lagi feri di beberapa pengkalan yang sesak tanpa mengabaikan keselamatan pengguna.
“Kini terdapat tiga feri beroperasi di pangkalan Feri Sebuyau/Triso di Bahagian Samarahan. Antara langkah diambil bagi menampung jumlah kenderaan yang semakin banyak menggunakan perkhidmatan feri adalah bermula dari Mei 25 sehingga Jun 16 ini di pengkalan Feri Sebuyau/Triso, untuk feri pertama masa operasi dari 6am dilanjutkan sehingga 12am.
“Feri kedua beroperasi dari 4am akan dilanjutkan sehingga keesokan 2am dan feri ketiga akan beroperasi seperti biasa dari jam 8am sehingga 10pm.
“Ini bermakna terdapat tiga feri beroperasi di waktu 8am sehingga 10pm. Namum begitu, operasi feri tidak dapat menampung peningkatkan aliran trafik secara mendadak dimana perantau yang mahu balik kampung untuk meraikan perayaan berganda ini mula bergerak dari semalam dan menggunakan jalan persisiran merupakan punca utama menyebabkan kenderaan berbaris panjang di sebelah Sebuyau, bandingan aliran trafik dari sebelah Triso,” kata pihak JKR.
Oleh itu, JKR memohon kerjasama dari nelayan-nelayan tempatan supaya tidak memasang pukat berdekatan dengan laluan feri. JKR menerangkan bahawa aktiviti nelayan yang memasang pukat di laluan feri telah mengganggu dan menjejaskan kelancaran operasi feri.
“Ini menyebabkan feri terpaksa memperlahankan operasi di mana masa diambil untuk menyeberangi lebih panjang,” kata pihak jabatan.
JKR juga menasihati pengguna jalan raya yang menggunakan perkhidmatan feri supaya sentiasa mematuhi peraturan keselamatan feri dan memberi kerjasama supaya tidak memotong barisan serta mengikut arahan krew feri yang bertugas terutama semasa kenderaan memasuki dan keluar dari feri.
“Ingin diingatkan bahawa, hanya pemandu sahaja dibenarkan berada di dalam kenderaan dengan cermin dibuka sepenuhnya manakala semua penumpang lain tidak dibenarkan berada di dalam kenderaan masing-masing ketika feri sedang bergerak.
“Ketika kenderaan berada di dalam feri, enjin hendaklah dimatikan, brek tangan ditarik dengan ketat dan pengguna dinasihati supaya sentiasa peka terhadap lokasi alat bantuan kecemasan seperti jaket, pelampung dan rakit keselamatan,” nasihat JKR. — DayakDaily