JPJ Sarawak keluar 198 notis saman sempena musim perayaan Gawai dan Raya setakat ini

Anggota JPJ sedang melakukan operasi di Jalan Kuching-Kota Samarahan Expressway .

Oleh Dean Adam

KOTA SAMARAHAN, Mei 31: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak telah mengeluarkan sebanyak 198 notis saman menerusi operasi sempena musim perayaan Hari Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri setakat semalam.

Pengarah JPJ Sarawak, Syafiq Anas Abdullah berkata, notis tersebut dikeluarkan selepas melakukan pemeriksaan ke atas 756 buah kenderaan.


Jelas beliau, daripada jumlah keseluruhan kenderaan yang diperiksa itu, 419 buah motosikal telah diperiksa.

“Operasi sepanjang musim perayaan Gawai dan Raya tahun ini memberi tumpuan lebih kepada penunggang motosikal kerana kumpulan ini lebih berisiko berdepan kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengetuai operasi pemeriksaan di Jalan Kuching-Kota Samarahan Expressway di sini hari ini.

Syafiq menambah, dalam tempoh sejam operasi di situ, pihaknya telah mengeluarkan 38 notis saman kepada penunggang motosikal.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya juga telah mengeluarkan empat notis saman ke atas 15 buah bas ekspres yang diperiksa. — DayakDaily