KUCHING, 16 Feb: Kampung Tambak di Pusa berpotensi dijadikan pusat pembangunan industri nipah dan gula apong yang mampu menampung keperluan negeri dan negara.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beting Maro Razaili Gapor, satu perancangan jangka panjang diperlukan supaya potensi ini dapat dimanfaatkan dan memberi keuntungan kepada masyarakat setempat.
“Walaupun permintaan gula apong semakin tinggi, industri nipah Sarawak menghadapi persaingan penggunaan kawasan untuk pembangunan menyebabkan kawasan asli nipah semakin berkurang.
“Kekurangan pelaburan dari kerajaan juga menyulit pembangunan industri nipah.
“Sehingga kini pengusaha gula apong Kampung Tambak terus aktif dan agresif menanam pokok nipah bagi meningkat pengeluaran dalam usaha menambah pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini bagi menyokong Rang Undang-Undang Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah 2022.
RUU tersebut telah dibentangkan oleh Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi.
Tambah Razaili, kini sudah tiba masanya kerajaan Sarawak berusaha mewujudkan Taman Industri Nipah dan Pembuatan Gula Apong secara komersial untuk keperluan domestik dan eksport.
Katanya, selain mempunyai kelebihan dan potensi yang tinggi, didakwa gula apong juga boleh dijadikan produk asli keluaran tempatan serta produk berasaskan gula apong lain bagi memenuhi sektor pengeluaran makanan di Sarawak.
Razaili yakin Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah yang dicadang boleh membantu Sarawak kekal berdaya saing di pasaran global bukan sahaja dalam aktiviti huluan tetapi hiliran bagi memastikan Sarawak kekal sebagai pengeluar dan pengeksport sagu dan produk nipah terbesar dunia.
“Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah dijangka dapat menjaga kebajikan, pengurusan dan pembangunan untuk industri sagu dan menerokai potensi nipah di negeri ini.
“Ia juga akan dapat dalam meningkatkan daya saing pekebun kecil kerana hanya Sarawak pengeksport sagu utama dunia,” katanya.
Pada masa ini ujar Razaili, Sarawak merupakan pengeksport sagu terbesar di dunia dengan mengeksport sekitar 25,000- 40,000 tan bernilai antara RM80-RM90 juta produk sagu setiap tahun.
Ia dieksport ke Jepun, Taiwan, Singapura, Semenanjung Malaysia, dan negara lain.