‘Keuntungan bersih dari sumber minyak, gas harus di serahkan balik ke Sarawak’

Lo pada sidang media selepas sesi debat terhadap Belanjawan 2019 Kerajaan Negeri di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di DUN, Petra Jaya semalam.
Advertisement

KUCHING, Nov 8: Petronas menghasilkan sebanyak RM15 bilion keuntungan bersih dari sumber minyak negeri ini dan sekitar RM49 bilion keuntungan kasar dari sumber gas negeri ini setiap tahun yang diambil kerajaan pusat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang mendedahkannya dan sehubungan itu mahu keuntungan besar Petronas dari sumber minyak dan gas negeri ini dihentikan dari diserahkan kepada kerajaan pusat.

“Kita mesti menolak Akta Pembangunan Petroleum PDA 1974 dan Akta Laut Teritorial dan hentikan kerajaan pusat dari menyedut dari Sarawak sebanyak RM15 bilion keuntungan bersih dari sumber minyaknya dan sekitar RM49 bilion keuntungan kasar dari sumber gasnya setiap tahun,” katanya pada sesi debat terhadap Belanjawan 2019 Kerajaan Negeri di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di DUN, Petra Jaya, di sini, semalam.

Advertisement

Lo sehubungan itu mempertahankan tindakan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam belanjawan 2019 kerajaan negeri bakal memperkenalkan cukai jualan sebanyak 5 peratus terhadap produk petroleum dari negeri ini mulai Januari 1, 2019.

Ini kerana beliau yakin cukai terbabit akan membolehkan hampir RM4 bilion keuntungan Petronas dari melombong sumber minyak dan gas negeri ini setiap tahun dapat dikembalikan kepada Sarawak.

“Sumber minyak dan gas bawah tanah negeri ini adalah hak kita; tidak perlu berbincang mengenainya kerana memang 100 peratus hak negeri kita,” katanya pada sidang media selepas debat tersebut.

Lo juga menyangkal dakwaan pembangkang cukai jualan terbabit akan membebankan rakyat Sarawak dan meningkatkan kos pengeluaran minyak dan gas di negeri ini kerana kutipan cukai berkenaan sebanyak RM4 bilion yang sebahagian kecil dari keseluruhan keuntungan besar Petronas dari melombong minyak dan gas negeri ini.

Menurutnya, dengan mengenakan cukai jualan tersebut juga Sarawak selepas itu tidak lagi perlu terpaksa merayu-rayu peruntukan kewangan dari kerajaan pusat setiap tahun malahan kedudukan kewangannya menjadi lebih kukuh dan ini membolehkan suara Sarawak akan lebih didengari kerajaan pusat. — DayakDaily

Advertisement