Ketua polis Miri: Tiada kompromi dengan anggota cuai, lalai dalam menjalankan tugas

ACP Hakemal Hawari
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 17 Jan: Susulan kes seorang tahanan remaja wanita yang didakwa dirogol tahanan lelaki di lokap Balai Polis Pusat Miri, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggotanya yang melakukan kecuaian dan lalai dalam menjalankan tugas sekiranya wujud unsur-unsur tersebut dalam kejadian itu.

“Tindakan dan hukuman sewajarnya akan dikenakan terhadap anggota terbabit sekiranya terdapat unsur-unsur kecuaian di situ,” katanya hari ini.

Advertisement

Pada petang semalam, Senator Alan Ling melalui laman Facebooknya telah mendakwa kejadian berlaku berpunca dari kecuaian dan kelalaian pihak polis dalam menjaga dan mengawal lokap polis sehingga menjurus kepada perbuatan jenayah di kalangan tahanan-tahanan di dalam lokap tersebut.

Hakemal juga memohon kerjasama dari semua pihak termasuk media atau masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kejadian yang berlaku kerana ia akan menganggu siasatan serta menjurus kepada situasi tidak tenteram di kalangan masyarakat.

“Oleh itu, semua pihak diminta memberikan ruang bagi siasatan dijalankan dengan teliti,” jelasnya.

Katanya, pihak polis mengesahkan kejadian tersebut namun tidak dapat mendedahkan sebarang maklumat lanjut kerana ia melibatkan mangsa yang juga seorang juvana.

“Ini selaras dengan Seksyen 15(1) Akta Kanak-kanak 2001 yang tidak membenarkan mana-mana pihak mendedahkan maklumat mangsa serta kes masih di dengar di mahkamah,” jelasnya.

Ekoran dari kejadian tersebut, Bahagian Integriti dan Pematuhan standard IPD Miri telah menjalankan siasatan dan tindakan awal telah diambil ke atas dua anggota yang bertugas pada waktu itu.

“Kedua-dua anggota tersebut telah di tahan kerja bermula Januari 14 sehingga siasatan tatatertib selesai, siasatan lanjut terhadap perkara ini dijalankan oleh pihak IPK Sarawak,” Hakemal menjelaskan. — DayakDaily

Advertisement