Ketua isi rumah berjaya Rayuan BKSS terima bantuan khas RM250 untuk enam bulan

Abang Johari dalam sesi pengulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUCHING, 13 Nov: Seramai 82,000 ketua isi rumah yang berjaya dalam Rayuan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) akan menerima bayaran khas berjumlah RM250 untuk enam bulan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sebahagian daripada pembayaran bayaran khas terbabit akan dibuat dalam tahun ini manakala selebihnya dibuat pada tahun hadapan.


“Manakala bagi 40,000 individu bujang B40 yang berjaya dalam rayuan akan dibayar secara one-off sebanyak RM500 dan Pembayaran akan dibuat pada bulan Disember 2020.

“Melalui kelulusan ini, secara keseluruhannya, Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membelanjakan sejumlah RM943 juta yang mana RM800 juta telah dibayar melalui senarai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Manakala RM143 juta akan dibayar kepada 82,000 ketua isi rumah dan 40,000 individu bujang B40 yang tercicir tetapi layak menerima bantuan ini,” katanya ketika sesi pengulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Abang Johari berkata, secara keseluruhan seramai kepada 479,000 Ketua Isi Rumah dan 432,000 individu bujang B40 mendapat manfaat bantuan tersebut.

“Bantuan yang disalurkan oleh kerajaan Sarawak ini merupakan yang tertinggi bantuan di kalangan negeri–negeri dan kedua terbesar selepas bantuan Prihatin Nasional,” jelasnya. –DayakDaily