Ketinggalan 22 bulan, kerajaan GPS bangunkan Sarawak menerusi acuan sendiri

Nancy menandatangani plaq sebagai simbolik Perasmian Masjid Al-Asr Kampung Meritam di Limbang. (Gambar UKAS)

KUCHING, 21 Mac: Rakyat Sarawak telah banyak menerima pembangunan hasil inisiatif pemimpin kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri menerusi laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Sarawak sebelum ini ketinggalan selama 22 bulan iaitu semasa pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, dalam tempoh tersebut rakyat Sarawak sendiri dapat melihat kerajaan GPS membangunkan Sarawak dengan begitu cepat sekali seperti di Wilayah Utara menerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).


“Kalau dahulu di kawasan Pertengahan ada Recoda, di kawasan saya Samarahan di bawah IRSDA, di kawasan Sri Aman mereka ada SADA.

“Jadi semuanya ini ditubuhkan untuk membantu mempercepatkan pembangunan di negeri Sarawak.

“Kita berterima kasih kepada (Ketua Menteri) Datuk Patinggi Abang Johari (Tun Openg) kerana beliau mempunyai pandangan yang begitu jauh sekali dan telah melihat sendiri banyak kekurangan yang kita alami yang selama ini sebelum tempoh 22 bulan itu memang kerajaan Persekutuan yang banyak membantu kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Perasmian Masjid Al-Asr Kampung Meritam di Limbang semalam.

Tambah Nancy, apabila berada dalam pemerintahan sendiri, ianya membolehkan satu pemikiran kritis untuk mempercepatkan lagi pembangunan infrastruktur dan sosial.

“Semuanya ini perlu difikirkan oleh mereka yang menjadi pemimpin dan di sini kita ada pemimpin di peringkat Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri), mereka perlu bekerjasama.

“Solidariti di kalangan pemimpin-pemimpin amat perlu sekali kerana ianya dapat dilihat dan dinilai oleh rakyat,” ujar beliau.

Masjid Al-Asr Kampung Meritam menggantikan surau lama Kampung Meritam Surau Darul Iman yang telah berusia 24 tahun.

Ia terletak di Mukim Telahak dan siap dibina pada Oktober 2020 dengan kos RM350,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2019.

Pembinaan masjid memang dinantikan oleh penduduk kampung untuk kemudahan tempat beribadah yang lebih selesa kerana sebelum ini mereka menunaikan Solat Jumaat di Masjid Nurul Iman Kampung Telahak yang terletak 5 km dari Kampung Meritam. — DayakDaily