Oleh Cornelius Kadir Edison
SEBUYAU, 2 Jan: “Hilang sudah rasa takut, niat di hati hanya mahu menolong mangsa sahaja,” demikian kata Jamil Andong, salah seorang saksi yang terlibat dalam usaha mengeluarkan mangsa kenderaan jatuh di pangkalan feri Triso semalam (1 Jan).
Jamil yang ketika itu berada di jeti nelayan bersebelahan dengan pangkalan feri tersebut merupakan antara orang terawal menghulurkan bantuan menyelamatkan mangsa.
Katanya, beliau sempat melihat kenderaan tersebut tenggelam tatkala sebuah feri yang ingin berlabuh di pangkalan tersebut berusaha mendekati kenderaan itu bagi menyelamatkan mangsa terbabit.
“Apabila feri tersebut sudah hendak sampai kenderaan itu ia tiba-tiba tenggelam, jadi kami terus pergi ke situ dengan kapal ikan yang ada sauh kecil dan kemudian balingkan dekat lokasi itu lalu terkena salah satu bahagian kenderaan tersebut.
“Selepas itu dapat ditarik ke tepi sedikit, selam semula dan masukan tali besar dekat axel kenderaan tersebut barulah ia dapat ditarik ke tepi sungai yang lebih cetek untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan tersebut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Jamil berkata, mereka yang terlibat dalam usaha tersebut mengambil masa hampir sejam untuk menarik kenderaan tersebut sehingga timbul di permukaan air bagi membolehkan mangsa terbabit di keluarkan.
Situasi sama turut dikongsikan Taupek Ramli, 37, dan Shahril Bujang, 30, yang melakukan selaman untuk mengikat tali pada kenderaan tersebut.
Taupek berkata, beliau serta orang terlibat dalam situasi menyelamat itu tiada pilihan lain selain terus menyelam ke dalam sungai dan mengikat tali pada kenderaan itu bagi mengelakkan kesemua mangsa yang berada dalam kenderaan itu dihanyutkan air yang mulai pasang dan deras.
“Masa itu perasaan takut itu dibuang ke tepi dan dalam fikiran hanya mahu menolong sahaja tetapi saya hanya dapat menyelam dalam dua kali sahaja disebabkan agak keletihan pada masa itu selepas membuat kerja kebun.
“Selepas kenderaan itu dapat dibawa naik, tidak sampai hati saya melihat keadaan mangsa dalam kenderaan itu dan paling menyedihkan apabila melihat anak kecil yang masih bayi itu. Rasa hendak pitam pun ada masa itu,” katanya,
Sementara itu, Shahril yang pada masa kejadian berada di gerai keluarganya memberitahu, ada orang memerlukan bantuannya untuk melakukan selaman di lokasi kejadian terbabit.
Ini kerana katanya, hanya beberapa orang sahaja yang berani melakukan selaman tersebut termasuk belia yang berada berdekatan dengan lokasi kejadian tersebut selain beliau yang berkerja sebagai nelayan sudah biasa melakukan selaman ketika turun ke laut.
“Gementar juga apabila melihat keadaan kejadian itu, namun saya bawa juga hati berani demi untuk menolong dan menyelamatkan mangsa terbabit.
“Apabila sudah melihat mangsa itu, rasa kasihan dan simpati dengan apa yang menimpa mereka. Ketika itu kami hanya dapat mengambil mereka apabila ia sudah berada di tepi,” katanya
Shahril berkata, dia tidak berani untuk memecahkan cermin kenderaan itu semasa sedang menyelam di dalam sungai terbabit kerana dibimbangi arus akan menghanyut mangsa terbabit.
Katanya, tindakan memecahkan cermin sisi dan depan kenderaan itu dilakukan selepas kenderaan itu berjaya ditarik ke tepi menggunakan feri yang berada di lokasi tersebut.
Dalam pada itu, saksi kejadian Lihi@lehi Chali, 60, berkata, ketika kejadian kenderaan tersebut tiba-tiba datang dari arah Jalan Pusa dalam keadaan yang agak laju.
Katanya, sebelum kenderaan tersebut muncul, feri sebelumnya sudahpun penuh dan telahpun meninggalkan pengkalan tersebut dalam jarak kira-kira 60 meter daripada pengkalan terbabit.
“Masa itu saya minum sekejap dekat gerai yang dikendalikan oleh isteri saya, tiba-tiba dia (kenderaan mangsa) datang terus ke arah bawah pengkalan feri tapi saya tidak pasti sama ada dia tarik brek tangan ataupun hilang kawalan dan terus terjunam ke sebelah kiri pengkalan feri ini,” katanya.
Katanya, perasaan sedih mula menyelubungi tatkala melihat mangsa terbabit selain mengenangkan situasi yang terpaksa dihadapi mangsa ketika kenderaan tersebut mulai tenggelam.
“Saya sememangnya berasa kesal sebab tidak terdaya hendak membantu pada ketika itu disebabkan saya yang sudah berumur.
“Adapun dua remaja yang kebetulan di lokasi kejadian pada ketika itu memberitahu mereka juga tidak pandai berenang,” katanya.
Mangsa yang terkorban ialah Ronany Ting (pemandu), 33, Siti Aisha Abdullah, 36, Mohd Ahmad Mohd Hamdan, empat bulan, Muhd Mustaqim Mohd Hamdan, 5, Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7, Wallace Phang, 7, Alvin Phang, 12, Khairunnisa Muhamad, 14, dan Nor Shuhada Mohamad, 16. — DayakDaily