Ketam kalok ke rumah asap, jana pendapatan

Siti bersama ketam kalok di Remin Asuh.

KUCHING, 17 Jan: Sepasang suami isteri mencari pendapatan dengan menjual ketam kalok ke rumah asap “Remin Asuh” di Jalan Kumpang di sini.

Sumber ketam diperolehi di kawasan sungai atau parit berpaya  di sekitar Tabuan Jaya dan Stutong di sini dengan kaedah bento.

Menurut si isteri yang dikenali dengan pangggilan Siti, aktiviti menangkap ketam dilakukan oleh suami beliau sendiri di sebelah pagi hingga lewat tengahari.


“Ia bukan satu kerja yang mudah, beberapa bento dicampak ke dalam sungai dan suami berehat kira-kira setengah jam sambil menunggu ketam memakan umpan.

“Setelah itu bento pun diangkat, bergantung kepada keadaan, kadang-kadang sekali angkat bento-bento tersebut boleh memerangkap sehingga 6 ketam.

“Kadang-kadang langsung tiada,” kata Siti ketika ditemui di Remin Asuh baru-baru ini.

Beliau bersama suami kelihatan dua atau tiga kali seminggu akan datang ke Remin Asuh membawa hasil tangkapan.

Pembelinya merupakan pelanggan pelanggan Remin Asuh yang ketam kemudiannya dimasak terus di situ mengikut cara masakan masing-masing.

Siti menjual ketamnya dalam lingkungan harga RM30, RM40 dan RM50 sekilogram mengikut saiz dimana paling besar seekor mencecah hampir satu kilogram.

Kebiasaan Siti akan membawa sebanyak 10 kilogram ketam segar (masih hidup) yang sudah diikat rapi untuk dijual kepada pelanggan. — DayakDaily