Kestabilan politik dan kekuatan kerajaan tingkatkan pelaburan luar di Sarawak

Fazzrudin menandatangani plaq perasmian Bangunan Koperkasa@Satok.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 29 April: Kestabilan politik dan kekuatan kerajaan tingkatkan pelaburan luar di negeri ini, kata Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman.

Dengan keadaan tersebut katanya, ia mewujudkan eko sistem perniagaan yang baik dan membawa manfaat kepada peniaga tempatan.


“Transparensi Kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab penting, dengan visi jelas serta pelan tindakan yang kukuh ia akan menambahbaik eko sistem perniagaan

“Perkara positif paling penting ialah pelaburan meningkat. Peniaga luar melihat Sarawak sebagai sebuah wilayah yang menawarkan pulangan perniagaan,” kata Fazzrudin.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Bangunan Koperkasa@Satok di sini, hari ini

Sementara itu, Pengerusi Koperkasa Fathi Hambali memaklumkan bahawa koperasi mempunyai keanggotaan seramai lebih kurang 25,000 orang dengan jumlah asset mencecah RM270 juta pada tahun 2023.

Katanya, pemilikan bangunan komersial Koperkasa disasarkan mencecah RM100 juta menjelang 2030.

Ia memandangkan jumlah asset bangunan meningkat sebanyak 37 peratus pada tahun 2023 (RM29 juta) berbanding tahun 2022 (RM21 juta).

“Setakat ini, Koperkasa sudah memiliki sebanyak 26 unit rumah kedai dengan nilai sebanyak RM29 juta di seluruh Sarawak.

“Baru-baru ini koperasi telah membeli satu unit rumah kedai 3 tingkat di Limbang dan juga mendapat 20 unit rumah kedai 3 tingkat daripada Projek Perumahan Taman Koperkasa di Jalan Matang Kuching 5 yang dijangka akan siap pada tahun 2025,” kata Fathi. — DayakDaily