Keseronokan memancing berakhir tragedi, datuk ditemui lemas manakala dua cucu masih hilang

Anggota bomba dan polis mengangkat mangsa pertama yang ditemui mati lemas di Jeti Sungai Baram.
Advertisement

MARUDI, Jun 22: Keseronokan tiga beranak memancing ikan di Jeti Sungai Baram di sini berakhir tragedi apabila seorang datuk ditemui mati lemas, manakala dua cucunya dilaporkan masih hilang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Sujai Jaraee, 72, ditemui terapung di tepi bot ekspres berhampiran jeti sungai tersebut.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, dua lagi mangsa iaitu cucu kepada mangsa masih belum ditemui.

Advertisement

Katanya, dua mangsa yang masih hilang itu dikenalpasti sebagai Mohd Alyee Ong Zulkifli, 14, dan Mohd Zafril Wasli, 12.

“Buat masa ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) belum lagi menjumpai kedua-dua mangsa.

“Namun, mayat lelaki warga emas itu sudah dibawa ke Hospital Marudi untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Pasukan SAR sedang berusaha mengesan dua lagi mangsa yang masih hilang.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan penemuan mayat mangsa.

Jelasnya, operasi SAR dua lagi mangsa yang dijalankan setakat pukul 5 petang tadi belum lagi menemui petunjuk positif. — DayakDaily

Advertisement