Oleh Dean Adam
KUCHING, Jun 6: Keseronokan seorang pemuda mandi sungai bersama rakannya sempena cuti Hari Raya Aidilfitri berakhir tragedi apabila dia ditemui mati lemas di Sungai Rayu Matang di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 3.18 petang itu, mangsa, Mohd Nur Fitri Syafiq Afiq, 24, ditemui oleh Pasukan Menyelamat Di Air (PPDA).
Mangsa dijumpai lemas pada pukul 5.30 petang di kawasan sungai yang kedalamannya lebih kurang 4 meter.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa hanyut dibawa arus deras semasa mandi bersama empat rakannya.
Katanya, sebelum itu operasi telah menggunakan kaedah pencarian di permukaan sepanjang tebingan sungai dan selaman di dalam air.
“Selaman pertama oleh PPDA telah berjaya menjumpai mangsa 5 meter dari lokasi di mana mangsa dipercayai dihanyutkan arus,” katanya di sini malam ini.
Tiong menambah, mayat mangsa mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi berkenaan ditamatkan pada pukul 6 petang,” katanya. — DayakDaily