Keselamatan sosial pekerja e-hailing, kerajaan rancang wujud akta — TPM Ahmad Zahid

Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Photo credit: Zahid Hamidi Facebook page
Advertisement

KUCHING, 28 Mei: Kerajaan merancang mewujudkan akta bagi menjamin keselamatan sosial kepada golongan pekerja ekonomi gig membabitkan pekerja e-hailing, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut laporan Bernama, Ahmad Zahid berkata, perkara tersebut sudah dibincang dengan Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar supaya penggubalan akta berkenaan diperhalusi bagi memenuhi keperluan dan kepuasan pihak majikan serta pekerja.

Katanya, perkara itu akan mengambil masa agak panjang kerana ia melibatkan Jabatan Peguam Negara, input daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang terlibat dengan industri e-hailing.

Advertisement

“Jika ada akta ini pun, saya fikir ia mesti memuaskan hati semua pihak. Yang penting, asasnya ialah jaminan masa depan mereka,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) 2023 Negeri Perak di Hutan Melintang.

Tambah Ahmad Zahid, perlindungan juga harus diberikan kepada pekerja e-hailing bukan sahaja dari segi insurans, tetapi melibatkan faedah dan manfaat untuk mereka.

“Kita harus memperkukuhkan (akta yang akan diwujudkan itu) kerana ini (ekonomi gig) adalah bidang baharu, terutamanya selepas pandemik (Covid-19) apabila ada yang terpaksa berhenti kerja, ada juga yang diberhentikan.

“Jadi ‘reskilling’ ini harus dilakukan dan kita mesti menjuruskan mereka kepada bidang bersesuaian dengan kelulusan, pengalaman mereka supaya satu jaminan sosial dan keselamatan dapat diberikan kepada mereka,” katanya. — DayakDaily

Advertisement