Kesejahteraan para petani terus dibela kerajaan — Mohd Khairuddin

Riot (tengah) menerima kunjungan delegasi dari Taipei Investors’ Association yang diketuai oleh presiden kehormatnya Datuk Dr Lee Fang Hsin (dua dari kanan) di pejabat beliau di Putrajaya hari ini (14 Julai 2020).

Oleh Peter Sibon

KUCHING, 14 Julai: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk meringankan beban para petani.

Jelas beliau, antara langkah-langkah tersebut ialah menyediakan bantuan Input Pertanian Pekebun Kecil Lada Di Bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin 2020 berjumlah RM3,000 bagi satu hektar yang diberi secara ‘one-off’ melalui pemberian baucar.


Mengenai sector tanaman sawit pula, beliau menjelaskan bahawa usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk membantu pekebun kecil agrikomoditi meningkatkan pendapatan dan mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi adalah termasuk menggalakkan pekebun kecil sawit menyertai Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM).

“Insentif sebanyak RM200,000 diberikan kepada KPSM bagi tujuan pembinaan pusat timbang untuk menjalankan urus niaga jual beli buah tandan segar (BTS) dan memperkenalkan Skim Pembiayaan Mudah (SPM) Tanpa Faedah sebagai modal pusingan berjumlah RM100,000 bagi meningkatkan urusan jual beli BTS daripada pekebun kecil sawit di pusat timbang milik KPSM,” jelas Mohd Khairuddin ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parliamen Serian Datuk Seri Riot Jaem ketika sesi Soal-Jawap di Parliamen semalam.

Mengenai tanaman getah pula, beliau menjelaskan bahawa kerajaan kini memperkenalkan Aplikasi RRIMniaga yang boleh digunakan oleh pelesen untuk merekodkan urus niaga getah bagi mempercepatkan proses permohonan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada Lembaga Getah Malaysia (LGM).

“Kerajaan juga melaksanakan mekanisme penetapan harga di ladang dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM6.4 juta sebagai modal pusingan kepada koperasi-koperasi untuk tujuan urus niaga getah. Mekanisme ini dapat mengurangkan lapisan pembeli dan menawarkan harga cuplump pada purata RMO.10 sehingga RMO.20 sekilogram lebih tinggi berbanding pembeli getah lain,” jelas beliau.

Terdahulu, Riot telah meminta Mohd Khairuddin menyatakan apakah usaha-usaha bagi membantu para pekebun kecil persendirian komoditi lada, sawit dan getah kerana harga komoditi-komoditi tersebut terlalu rendah.

Mohd Khairuddin berkata, antara cabaran utama yang dihadapi oleh pihak kerajaan adalah untuk menstabilkan harga agrikomoditi utama seperti sawit, getah dan lada kerana harga agrikomoditi ini bergantung kepada pelbagai faktor.

“Antaranya adalah senario pasaran harga di peringkat global yang turut dipengaruhi oleh pertumbuhan ekonomi, permintaan, penawaran dan stok.

“Penularan wabak Covid-19 juga telah menjejaskan sedikit sebanyak permintaan untuk keluaran sektor agrikomoditi yang turut menyebabkan kejatuhan harga,” kata beliau.

Beliau turut menjelaskan bahawa antara langkah-langkah terkini yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam menstabilkan harga agrikomoditi adalah seperti berikut:

· memberikan pengecualian duti eksport minyak sawit mentah (CPO), minyak isirong sawit mentah (CPKO) dan minyak isirong sawit diproses (RBDPKO) sehingga Disember 31, 2020;

· meningkatkan adunan biobahan api sawit dengan diesel petroleum melalui Program Biodiesel B20 (adunan 20 peratus biodiesel sawit dan 80 peratus diesel petroleum) bagi membantu meningkatkan penggunaan minyak sawit mentah domestic; dan

· meningkatkan kerjasama dengan negara-negara pengeluar utama getah iaitu Thailand, Indonesia dan Malaysia di bawah kerangka international Tripartite Rubber Council (ITRC).

Tambah beliau lagi, kerjasama ini dijalinkan untuk melaksana dan memantau pengurusan pengeluaran getah asli serta mengimbangkan penawaran dan permintaan getah di pasaran dunia melalui tiga mekanisme utama iaitu Agreed Export Tonnage Scheme (AETS), Supply Management Scheme (SMS) dan Demand Promotion Scheme (DPS).

“Kerajaan juga meneroka pasaran baharu bagi semua agrikomoditi melalui aktiviti promosi dan pemadanan pasaran baharu dengan pengilang tempatan dan pembeli dari luar negara dan menjalankan misi-misi ekonomi dan teknikal bagi mengukuhkan hubungan dengan negara-negara pengimport utama produk-produk agrikomoditi Malaysia bagi mendapatkan akses pasaran yang lebih meluas di negara-negara tersebut,” tambah Mohd Khairuddin. — DayakDaily