Kes tipu pembelian telefon pintar, peniaga rugi RM9,000

PDRM logo.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, June 27: Lain yang dibeli, barang lain pula yang dihantar.

Begitulah situasi yang berlaku kepada seorang penjual barangan elektronik di sini pada Selasa lepas, yang terpaksa berputih mata dan kerugian lebih RM9,000 selepas menerima dua bungkusan barangan yang dibeli daripada pembekalnya di Kuching.


Dua bungkusan yang diterimanya hanya mengandungi beberapa botol kosong, dan bukan 20 unit telefon bimbit dan tab berbagai jenama yang dibeli, ujar ketua Polis Miri ACP Lim Meng Seah.

Bertindak atas satu laporan yang dibuat oleh mangsa yang juga pemilik kedai tersebut, perkhidmatan kurier yang telah ditugaskan menghantar barang tersebut, telah membuat satu laporan polis,

Menurut siasatan awal polis, barang tersebut telah diposkan oleh pembekal di Kuching pada 19 Jun lepas dan sampai ke Miri pada Jun 22.

“Bungkusan tersebut sepatutnya mengandungi 20 unit barangan elektronik seperti telefon bimbit pelbagai jenama dan tab bernilai lebih RM9,000, namun sebaliknya mangsa menjumpai beberapa botol berisi air di dalam bungkusan tersebut,” jelas Lim.

Tambahnya, polis mendapati bahawa tiada sebarang kerosakan pada cap tanda di kedua-dua kotak tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.—DayakDaily