Kes tibi: Kumpulan Syarikat EMart menyangkal khabar angin mengenai kesihatan pekerjanya

Kakitangan EMart Matang menunjukkan keputusan x-ray membuktikan mereka tidak menghidap penyakit tibi seperti khabar angin terhadap pasaraya terbabit selepas pihak pengurusan pasaraya itu mengadakan sidang media di EMart Matang, Petra Jaya.
Advertisement

KUCHING, Mac 5: Kumpulan Syarikat EMart menyangkal khabar angin yang sedang tersebar melalui aplikasi WhatsApp mendakwa seorang pekerja cawangan pasaraya terbabit di bandaraya ini sudah meninggal dunia akibat dijangkiti penyakit tibi.

Pembantu Pengurus Kumpulan Syarikat EMart, Alan Bong berkata khabar angin itu sedang disebarkan dalam bentuk pesanan suara dalam bahasa Cina Hakka melalui aplikasi tersebut yang mendakwa pekerja terbabit berkhidmat di EMart Batu Kawa.

“Khabar angin terbaharu terbabit adalah palsu dan tiada pekerja pasaraya kami di bandaraya ini yang meninggal dunia akibat penyakit tibi termasuk di EMart Batu Kawa,” katanya ketika mengadakan sidang media bersama Pengarah Pengurusan EMart, Ngu Ting Sii dan Pengurus Besar Kumpulan EMart, Ling Tien Beng di EMart Matang, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Advertisement

Bong juga meminta orang ramai tidak mempercayai khabar angin yang mereka boleh dijangkiti penyakit tibi sekiranya mengunjungi EMart Matang kerana kesemua 153 pekerja cawangan pasaraya itu sudah menjalani ujian pengesanan dan x-ray dan disahkan bebas dari penyakit itu.

“Semua pekerja EMart Matang bebas dari penyakit tibi, jadi tiada pelanggan yang boleh dijangkiti penyakit tibi sekiranya mengunjungi pasaraya EMart Matang dan kalau orang ramai yang masih belum yakin mereka boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKMNS) di talian 082-473200,” katanya.

Beliau sehubungan itu berharap orang ramai juga tidak terpedaya dengan khabar angin terbabit yang juga meminta mereka memakai topeng muka sekiranya mengunjungi EMart Matang bagi mengelakkan dijangkiti tibi.

Bong (kiri) bersama kakitangan pengurusan Kumpulan Syarikat EMart mengadakan sidang media menafikan dakwaan khabar angin yang tersebar mengenai EMart Matang.

“Ini kerana pekerja pasaraya kami sudah lama akan dikuantinkan sekiranya ada dijangkiti tibi, jadi orang ramai tidak perlu mengunakan topeng muka bagi membeli belah di pasaraya ini,” katanya dan menjelaskan khabar angin terbabit berpunca dari seorang bekas pekerja pasaraya EMart Matang yang dikesan menghidapi penyakit tibi.

“Bekas pekerja terbabit tidak menghidapi penyakit tibi ketika dia berhenti kerja dengan pasaraya kami, Disember 31 tahun lepas tetapi dikesan menghidapnya selepas itu pada Januari 10 lepas setelah berkunjung ke klinik,” kata Bong.

Menurutnya, sebagai langkah keselamatan kesemua pekerja Emart Matang telah diminta menjalani ujian pengesanan tibi dan didapati tiada yang positif menghidapnya, namun seorang pekerja didapati dari rekod perubatannya pernah menghidapi tibi tetapi sudah sembuh sepenuhnya.

Bong berkata EMart Matang sehubungan itu akan bekerjasama dengan JKMNS dan Pusat Perubatan Normah bagi mengadakan ceramah kesihatan mengenai penyakit tibi dan ujian kesihatan percuma kepada orang ramai di cawangan pasaraya terbabit pada Mac 10 depan.

Ceramah terbabit akan bermula jam 2.30 petang manakala ujian kesihatan pula dari 10 pagi sehingga 2 petang dan isitimewa sempena Hari Wanita hujung minggu ini, ahli EMart akan menikmati kadar istimewa ujian tibi di Pusat Perubatan Normah dengan mengemukakan kad keahlian EMart mereka. — DayakDaily

Advertisement