Kes positif baharu Covid-19 di seluruh negara kekal empat angka

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA, 7 Nov: Jumlah kes baharu jangkitan Covid-19 di seluruh negara kekal empat angka dengan 1,168 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan kumulatif kes positif meningkat kepada 39,357 kes dan kebolehjangkitan adalah 11,666 kes.

Jumlah itu bagaimanapun menurun berbanding daripada 1,755 kes positif yang dilaporkan semalam iaitu tertinggi pernah dilaporkan sejak wabak tersebut mula dikesan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sabah kekal mencatatkan jumlah kes terbanyak iaitu sebanyak 616 kes atau 52.7 peratus daripada keseluruhan kes positif hari ini diikuti negeri di Lembah Klang sebanyak 275 kes (23.5 peratus) dan Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan sebanyak 104 kes positif (8.9 peratus).

“Kelima-lima negeri ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)  dan menyumbang sebanyak 995 kes (85.2 peratus) daripada keseluruhan kes positif Covid-19 pada hari ini.

“Sebanyak 229 kes (19.6 peratus) yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara. Ini melibatkan Kluster PTS Tawau (121 kes), Kluster Penjara Sandakan (91 kes), Kluster Penjara Kepayan (8 kes), Kluster Tembok (6 kes) dan Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes),” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sejumlah 1,029 kes sembuh turut dilaporkan hari ini menjadikan ia kes sembuh tertinggi pernah dilaporkan sejak wabak terbabit dikesan di negara ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah 27,409 kes (69.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Tiga kematian turut dilaporkan hari ini melibatkan dua wanita dan seorang lelaki berumur antara 51 hingga 62 tahun dan kesemua kes kematian tersebut dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

“Ketiga-tiga kes ini mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi, dislipidemia dan strok,” katanya. — DayakDaily