Kes pembunuhan Eric: Tiada pengakuan direkod daripada pasangan suspek terbabit

Pasangan tertuduh tiba di Mahkamah Kuching hari ini (31 Mac 2022).

KUCHING, 31 Mac: Dua suspek kes pembunuhan Eric Chang Wei Jie, 4 tahun, iaitu sepasang suami isteri dijatuhkan hukuman penjara enam bulan atas kesalahan jenayah yang lain.

Pasangan terbabit iaitu Wendy Chai Cue Zhen, 36 tahun, bersama suaminya Ling Kok Liang, 51 tahun, hadir di Mahkamah Kuching hari ini untuk pertuduhan beberapa kes termasuk kes bunuh (Eric).

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah dalam satu sidang media hari ini turut mendedahkan kedua-dua suspek mempunyai lima waran tangkap.


Sehingga petang tadi Chai yang juga pengasuh Eric telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan atas kesalahan mencuri peti sejuk dan mesin pencuci pakaian dari sebuah syarikat swasta di City Square Court.

Dia dalam kamar perbicaraan mengaku atas kesalahan tersebut yang dilakukannya pada 6 Disember 2019 sekitar jam 11 pagi.

Manakala suami Wendy, Ling, turut mengaku terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan turut dihukum penjara enam bulan.

Sementara itu, tiada pengakuan direkod daripada pasangan terbabit berhubung kes pembunuhan Eric semasa mereka didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya Tan Chuan Yi memohon untuk sebutan lanjut kes dan Majistret Zaiton Anuar menetapkan 9 Mei untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh diperintahkan ditahan di Penjara Puncak Borneo sementara menunggu tarikh tersebut.

Difahamkan pasangan terbabit dipercayai melakukan pembunuhan tersebut pada 4 Mac sekitar jam 5 petang dan 7 Mac sekitar jam 9.15 pagi.

Laporan kehilangan Eric hanya dibuat oleh ibunya pada malam 7 Mac dan operasi mencari dan menyelamat terus dilancarkan selepas itu.

Pada 13 Mac, kes yang sebelum itu disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

Ekoran itu, pasangan terbabit terus ditahan reman sehingga hari ini untuk siasatan lanjut. — DayakDaily