Kes cari lelaki warga Indonesia kini diambil alih oleh polis

Anggota bomba sedang melakukan operasi SAR di kolam udang sebelum ia ditangguhkan petang tadi.

Oleh Dean Adam

LUNDU, Jun 8: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai terjatuh ke dalam kolam ternakan udang ditangguhkan hari ini.

Operasi ditangguhkan pada pukul 3.15 petang tadi.

Kes kini diambil alih oleh pihak polis setelah menerima aduan rakan mangsa, seorang warga Filipina yang juga rakan sekerja, bahawa beliau telah kehilangan sejumlah wang RM2,500 dan seutas jam.

Beliau sedar akan perkara tersebut sehari selepas operasi SAR dijalankan semalam dan memaklumkan kepada anggota polis di lokasi sebelum membuat laporan rasmi di Balai Polis Lundu pada hari sama.

Lokasi kolam di mana mangsa dikhuatiri hilang.

DayakDaily semalam melaporkan seorang pekerja kolam ternakan udang di Jalan Rambungan dekat sini dilaporkan hilang.

Mangsa, Bertus Aleng, 29, yang juga merupakan seorang warga Indonesia dilaporkan hilang oleh pengurus kolam udang berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa pada pukul 3.20 petang.

Berdasarkan laporan diterima, mangsa dikhuatiri hilang setelah melakukan aktiviti memotong rumput di sekitar kawasan kolam ternakan udang berkenaan. — DayakDaily