KUCHING, 30 Mei: Kematian seorang wanita warga Indonesia di sebuah rumah bangunan kedai di Batu Kawa MJC dipercayai bermotifkan kes samun.
Ini kerana menurut Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, terdapat beberapa barang peribadi milik mangsa telah hilang.
Selain itu, terdapat kesan tikaman dipercayai senjata tajam di leher mangsa berusia 35 tahun terbabit.
“Mangsa mengalami kecederaan luka besar di leher, bahagian hadapan kerongkong disyaki ditikam senjata tajam.
“Daripada siasatan awal setakat ini, kita percaya motif kejadian adalah samun disebabkan ada barang-barang mangsa telah hilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan kes adalah bermotifkan cemburu, namun siasatan lanjut kes masih dijalankan.
Kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Siasatan telah dijalankan di lokasi kejadian bersama dengan pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak,” katanya.
Tambahnya, usaha memburu suspek juga sedang giat dijalankan.
“Pasukan kita juga sedang menyemak semua kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian,” katanya.
Mengulas lanjut, Abang Zainal memberitahu kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 4.30 petang semalam.
Katanya, anak perempuan mangsa yang berusia lingkungan 3 hingga 4 tahun menangis-nangis datang ke sebuah kedai makan untuk mendapatkan bantuan.
Orang awam yang berada di kedai tersebut kemudian mendekatinya dan mengiringinya pulang.
“Apabila pengadu bertanya kepadanya, dia telah membawa pengadu ke atas rumahnya, dan sebaik sahaja pengadu masuk ke sebuah bilik mendapati ada seorang perempuan disyaki ibu kepada kanak-kanak tersebut dalam keadaan berlumuran darah tidak sedarkan diri,” katanya.
Laporan polis terus dibuat selepas itu. — DayakDaily