Lelaki maut, motosikal terbabas langgar pembahagi jalan

Gambar komposit menunjukkan keadaan di lokasi kejadian.

KUCHING, 30 Mei: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat kemalangan kendiri di Jalan McDougall, di sini awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Supt Bingkok John berkata mangsa lelaki berusia 34 tahun semasa kejadian dikatakan bergerak dari arah Jalan Tabuan menuju ke Jalan Tun Abang Haji Openg.

Katanya, dipercayai motosikal mangsa terbabas dan melanggar pembahagi jalan menyebabkan mangsa tercampak dari atas motosikal.


“Akibat kemalangan ini menyebabkan penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada motosikal mangsa yang telah hilang kawalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS).

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily