Kerusi roda tidak menjadi penghalang untuk mengunjung rumah terbuka KM

Tang dengan ditemani isterinyaNgui selepas menghadiri majlis rumah terbuka Ketua Menteri di BCCK.

KUCHING, Jun 5: Lumpuh dan berkerusi roda tidak menghalang seorang warga bandar raya ini bersama orang ramai menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sejingkat, di sini, hari ini.

Malahan Tang Siik Wu, 73, dengan ditemani isterinya, Susie Ngui,63 dari Jalan Arang antara orang ramai yang terawal tiba ke majlis rumah terbuka terbabit di BCCK yang bermula jam 10 pagi hari ini.

“Saya mengunjungi rumah terbuka ini kerana mahu bertemu sendiri dengan Ketua Menteri, Abang Johari,” katanya yang berkerusi roda kerana lumpuh badannya setelah diserang penyakit angin ahmar atau strok tujuh tahun lepas.

Tang berkata ini merupakan kali pertama beliau menghadiri majlis rumah terbuka seorang Ketua Menteri Sarawak setelah melihat pengumuman mengenai acara itu dalam satu akhbar tempatan baru-baru ini.

Abang Johari (kiri) dan isteri, Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang menyambut orang ramai yang menghadiri rumah terbuka Ketua Menteri di BCCK, Sejingkat.

“Saya merasa seronok kerana berpeluang menghadiri rumah terbuka ini walaupun lumpuh dan kemungkinan saya dan isteri akan kembali menghadirinya lagi tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata walaupun berkerusi roda, majlis terbabit tidak sukar dikunjunginya kerana ada kemudahan lift bagi digunakannya ke dewan utama di BCCK yang cukup sesak orang ramai yang beratur panjang bagi memasuki dewan utama.

Tang bagaimanapun mendedahkan tidak dapat mengunakan kemudahan lift bagi pulang dan turun ke tingkat bawah tempat letak kereta BCCK kerana dimaklumkan lift terbabit tidak berfungsi dengan baik.

Sekumpulan golongan cacat penglihatan yang menghadiri majlis rumah terbuka Ketua Menteri di BCCK.

Selain golongan berkerusi roda, tinjauan mendapati golongan cacat penglihatan juga antara yang terawal mengunjungi rumah terbuka itu dan mereka datang berkumpulan dibawa dua van.

Juga yang awal menghadiri majlis rumah terbuka itu ialah rombongan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Tiong King Sing, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep, Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datu Dr Penguang Manggil dan Pengerusi iCube Innovation, Datuk Patrick CJ Liew. — DayakDaily