Kerugian kes vandalisme pada infrastruktur utiliti, telekomunikasi mencecah RM20 juta pada 2023

Julaihi berucap di Majlis Pelancaran Kempen Pencegahan Vandalisme di Kuching pada July 3, 2024. Foto kredit: Ukas
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 3 Julai: Kerugian akibat kes vandalisme terhadap kemudahan infrastruktur utiliti dan telekomunikasi pada tahun 2023 melibatkan anggaran sebanyak RM20 juta.

Menteri Utiliti Dan Komunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, jumlah besar yang ditanggung oleh kerajaan itu melibatkan 1,406 kes.

Advertisement

“Sektor telekomunikasi merekodkan sebanyak 1,079 kes vandalisme dengan anggaran kerugian sebanyak RM15.8 juta.

“Sektor bekalan elektrik dengan 266 kes dengan anggaran kerugian sebanyak RM3.6 juta.

“Sektor bekalan air dengan 57 kes dengan kerugian RM244,000, manakala sektor pengedaran gas sebanyak 4 kes dengan kerugian sebanyak RM30,500,” kata Julaihi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan di Majlis Pelancaran Kempen Pencegahan Vandalisme terhadap Kemudahan Utiliti dan Komunikasi di sini, hari ini.

Tambah Julaihi, kempen menandakan keprihatinan kerajaan Sarawak dalam memastikan kemudahan utiliti dan telekomunikasi sentiasa berada dalam keadaan baik.

Katanya, ia seterusnya memberi manfaat kepada rakyat tanpa ada gangguan.

Sementara itu ujar Julaihi, semenjak 2019 sebanyak RM10.4 billion telah diperuntukan oleh Kerajaan Sarawak untuk memperluaskan serta meningkatkan kemudahan utiliti air dan elektrik serta perkhidmatan telekomunikasi.

“Ini melibatkan sebanyak hampir 400 projek bekalan air, 214 projek bekalan elektrik dan 600 menara telekomunikasi.

“Berdasarkan Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak, peruntukan sebanyak RM20 billion adalah diperlukan bagi melaksanakan keseluruhan projek bekalan air.

“Pembangunan Tenaga Elektrik Luar Bandar memerlukan peruntukan hampir RM4 billion untuk meningkatkan perluasan bekalan elekrik sepenuhnya disamping meningkatkan prestasi bekalan,” kata Julaihi. — DayakDaily

Advertisement