Kerjasama erat PDRM-Sarawak bina laluan keselamatan sempadan

Hazani (tiga dari kanan) menyerahkan kunci ‘replika’ kenderaan pacuan empat roda sumbangan Kerajaan Sarawak kepada Che Ghazali.

KUCHING, 18 April: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan kerjasama erat dengan Kerajaan Sarawak bagi pembinaan laluan keselamatan di sepanjang sempadan negeri dengan Kalimantan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Dato Sri Hazani Ghazali berkata, ia bagi memastikan kawasan sempadan sentiasa selamat dan tidak mudah bolos.

“Sempadan ini kita bukan apa, kita nak pantau keadaan. Kita sedia maklum apabila ibu negara Indonesia di Nusantara dibuka nanti, secara tidak langsung tempias sosial dan ekonomi akan berlaku di Sarawak.


“Keutamaan kami (PDRM) adalah jenayah rentas sempadan termasuk aktiviti-aktiviti penyeludupan dan lain-lain yang hendak keluar atau masuk ke negara kita,” katanya.

Hazani berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyampaian Sumbangan Logistik Kerajaan Negeri kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) di Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA di sini, hari ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Disember 2021 telah meluluskan peruntukan bagi tujuan pembelian 2 buah kenderaan pacuan empat roda untuk kegunaan PGA Sarawak yang bernilai RM279,400.

Tambah Hazani, kerajaan telah memberi persetujuan untuk laluan yang hendak di bina nanti yang bakal bermula dari Telok Melano hingga ke Sabah.

“Tapi untuk kawasan bukit kita akan henti sementara dan kita akan membuat perincian.

“Kita akan bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak untuk mendapatkan kebenaran dari segi tanah, lokaliti dan sebagainya untuk kita membuat laluan keselamatan di sempadan,” ujar beliau.

Terdahulu, Hazani menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Komander Briged Sarawak PGA di antara Pemangku merangkap Timbalan Komander Briged ACP Shaikh Abdul Aziz kepada SAC Dr Che Ghazali Che Awang sebagai Komander yang baharu. — DayakDaily