“Kerjasama antara kerajaan dan ketua masyarakat amat penting untuk melaksanakan pembangunan”

Penduduk rumah panjang Minggat Jampi dengan tetamu lain mengambil kesempatan bergambar dengan Jugah (12 dari kiri) di tapak tanah untuk membina rumah panjang baru.

LUBOK ANTU, Mei 28: Peranan pemimpin kerajaan persekutuan serta kerjasama dan sokongan ketua masyarakat adalah sebagai jambatan penghubung penduduk dengan kerajaan sangat penting agar segala pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar, kata Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang.

Dalam satu kenyataan media, beliau berkata bahawa ketua masyarakat dapat menjadi mata dan telinga kerajaan serta menghebahkan maklumat mengenai dasar kerajaan kepada masyarakat kampung hingga ke peringkat akar umbi.

“Adalah menjadi tanggungjawab ketua masyarakat memastikan isu dan kebajikan rakyat dipelihara termasuk membantu kerajaan mengekalkan perpaduan sedia ada,”kata Jugah sebelum merasmikan Majlis Pra-Gawai di Rumah Minggat Jampi, Mujan Skrang kelmarin (Mei 27).


“Hubungan baik dan kerjasama kedua-dua pihak itu sangat penting agar segala pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar,” ujar beliau.

Jugah mengingatkan bahawa pemimpin masyarakat juga perlu seiring dengan pelaksanaan dasar kerajaan serta memahami situasi semasa untuk memastikan setiap perancangan kerajaan mendapat kerjasama semua pihak.

Beliau juga berkata bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa berusaha memberi akses terbaik bagi membantu rakyat melalui apa sahaja cara dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan mereka dari semasa ke semasa.

“Kita mahu segala projek pembangunan disalurkan oleh kerajaan kepada mereka memberi impak peningkatan taraf hidup kepada rakyat secara inklusif dan menyeluruh.”

Jugah berkata bahawa Perayaan Hari Gawai Dayak bukan sahaja satu perayaan sebaliknya medium untuk mengukuh hubungan komuniti, terutama kaum Dayak dengan kaum-kaum lain di negeri ini dan negara ini amnya.

“Perayaan ini merupakan salah satu platform bagi mengukuhkan toleransi masyarakat Dayak juga.

“Ini kerana di majlis seperti inilah kita berkumpul sesama masyarakat Dayak tanpa mengira latar belakang profesion, taraf pendidikan atau ideologi politik kita kerana inilah kesempatan yang kita boleh gunakan untuk berbincang dan bertukar-tukar fikiran bagi mendengar denyut nadi rakyat.”

Jugah turut memperuntukkan sebanyak RM200,000 membantu pembinaan rumah panjang baru mereka, RM10,000 kepada JKKK, RM5,000 untuk Biro Wanita.

Rumah Minggat Mujan, Skrang didiami 32 keluarga. — DayakDaily