Kerja ubah suai DUN Lama sebagai Pusat Persembahan Seni mula April, dijangka siap 2026

Abdul Karim pada sidang media di Kuching.

KUCHING, 15 Feb: Pusat Persembahan Seni yang setaraf dengan Istana Budaya di Kuala Lumpur dijangka dapat digunakan pada tahun 2026.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerja-kerja menaik taraf bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama kepada pusat tersebut mula dilaksanakan pada April tahun ini.

Katanya, pemilihan kontraktor bagi kerja ubah suai bangunan DUN Lama dilakukan dengan teliti agar kerja tidak mencacatkan struktur bangunan termasuk barangan berharga yang perlu disimpan.


“Saya percaya tidak lama lagi kerja-kerja membaik pulih akan bermula.

“Tempat ini lain dari yang lain sebab itu ia kena dijaga sedikit.

“Kalau bangunan yang baru, ia memang lebih mudah untuk dibangunkan, tetapi ini bangunan DUN yang memerlukan banyak perkara untuk disimpan dan dikekalkan,” kata Abdul Karim.

Beliau berkata demikan dalam satu sidang media selepas Pelancaran Original Soundtrack Dewi Liana Seriestha berjudul ‘Cinta Abadi’ di Muzium Budaya Borneo di sini pada semalam.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu butiran projek berkenaan telah dibentangkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan reka bentuk akhir telah dipersetujui. — DayakDaily