SERIAN, 17 Jun: Kerja-kerja baik pulih jambatan di Kampung Tanah Puteh, di sini akibat hakisan sedang giat dijalankan oleh kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR).
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata anggotanya dari Balai Bomba Serian telah hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan pemantauan.
Jelasnya, keadaan adalah terkawal dan tiada kemalangan tidak diingini berlaku setakat jam 4.32 petang hari ini.
“Kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih sedang dilakukan oleh kontraktor JKR Bahagian Serian,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementera itu, Residen Bahagian Serian Tuah Suni semasa dihubungi memberitahu pihaknya maklum dengan kejadian tersebut dan masih menunggu laporan daripada pihak JKR.
Beliau menasihatkan agar penduduk dan pengguna laluan tersebut sentiasa berhati-hati dan bersabar sementara kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan. — DayakDaily