Kereta rempuh motosikal akibatkan seorang lelaki maut

Keadaan kereta Perodua Myvi selepas kemalangan.
Advertisement

BINTULU, September 14: Akibat rempuhan kuat sebuah kereta dari arah belakang telah mengakibatkan seorang lelaki yang menunggang motosikal menemui ajal dalam satu kemalangan di Jalan Tanjung Kidurong di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 11 malam itu mengakibatkan mangsa, Razis Ismail, 24, meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu, semasa kejadian malang itu, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri sedang bergerak dari Tanjung Kidurong ke arah bandar Bintulu di sini.

Advertisement

Katanya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, sebuah kereta Perodua Myvi yang datang dari arah belakang secara tiba-tiba merempuh motosikal Honda EX5 yang ditunggangi mangsa.

Kelihatan keadaan motosikal mangsa selepas dirempuh kereta Perodua Myvi.

“Kesan perlanggaran tersebut telah mengakibatkan mangsa terjatuh dari motosikalnya dan tercampak ke atas jalan raya.

“Mangsa yang berasal dari Kampung Jepak itu kemudiannya mengalami kecederaan parah di bahagian kepalanya sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, siasatan awal mendapati lelaki yang memandu kereta Perodua Myvi itu bekerja sebagai pemandu ambulans di Hospital Bintulu.

Kataya, polis sudah mengambil keterangan dari lelaki berusia 42 tahun yang berasal dari Kampung Brunei, Dalat.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Bintulu untuk tindakan selanjutnya sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement