Kereta rempuh lori, seorang lelaki maut

Kelihatan keadaan kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori di di KM103, Jalan Sibu-Bintulu.

MUKAH, Jun 19: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah lori di KM103, Jalan Sibu-Bintulu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Ting Guan Hui, 45, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian itu, mangsa yang memandu seorang diri dikatakan dalam perjalanan menuju ke Bintulu dari arah Mukah.

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori.

“Kesan pertembungan kuat itu mengakibatkan kenderaan mangsa remuk dan dia tersepit di tempat duduk pemandu.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pemandu lori yang berusia 45 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily