Kereta mewah hilang di Coco Cabana Miri ditemui di Kuala Baram Bypass

Kereta mewah yang dilaporkan hilang Jumaat lepas kini ditemui

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 16 Feb: Sebuah kereta mewah bernilai RM200,000 milik seorang jurutera yang dilaporkan hilang dicuri di Coco Cabana pada petang 12 Feb (Jumaat) lalu, ditemui semula di tepi jalan Kuala Baram Bypass Sungai Tujoh, awal pagi tadi (16 Feb).

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan penemuan dibuat sekitar jam 1.45 pagi.


Sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) bersama sebuah kenderaan peronda polis (MPV) telah dihantar ke lokasi untuk melakukan siasatan, sebaik menerima laporan penemuan kenderaan terbabit.

Kenderaan jenis BMW blue stone metalic 530i itu telah dilaporkam hilang oleh pemiliknya yang berusia 39 tahun pada petang Jumaat sebaik selesai melakukan aktiviti riadah (joging) di kawasan Coco Cabana.

Difahamkan sebelum itu, kenderaan terbabit telah dipakir di tepi jalan di kawasan terbabit sekitar jam 5 petang oleh pemiliknya.

Namun, sejam kemudian, setelah mangsa selesai berjogging, beliau dapati keretanya yang dipakirkan di tepi bahu jalan tersebut telah hilang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan. — DayakDaily