KUCHING, Jan 24: Berpantang maut sebelum ajal.
Itulah yang terjadi terhadap seorang wanita apabila dia terselamat selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu terhumban dan terbalik di Jalan Batu Kawa di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 6 petang itu turut mengakibatkan mangsa hanya mengalami cedera ringan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 6.04 petang.
Katanya, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang kemudian bergegas ke lokasi kemalangan untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Sejurus tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kereta jenis Perodua Viva terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira tiga meter.
“Bagaimanapun, mangsa berjaya keluar menyelamatkan diri dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah jurucakap sama, kemalangan itu telah mengakibatkan kesesakan jalan raya yang agak teruk memandangkan ia berlaku pada waktu puncak.
Katanya, selepas mendapati keadaan terkawal, pasukan bomba kemudian pulang semula ke balai.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.41 petang,” ujarnya lagi. — DayakDaily