Kereta hilang kawalan dan terbalik, mengakibatkan seorang lelaki maut

Keadaan kereta mangsa yang terbalik.
Advertisement

PADAWAN, Julai 29: Malang menimpa seorang lelaki apabila kereta yang dipandu hilang kawalan lalu sebelum berpusing dan terbalik di Batu 21, Jalan Kuching-Serian di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi itu, mangsa, Nicholos Jimbai Khoo, 38, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan pada kepala dan anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, SUPT Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian mangsa yang memandu kereta Proton Wira dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke Serian dari arah pusat bandar raya Kuching.

Advertisement

Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai tiba-tiba hilang kawalan lalu berpusing dan terbalik di bahu jalan berkenaan.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah pada kepalanya dan maut serta-merta di lokasi kejadian.

“Orang awam yang kebetulan melalui jalan raya berkenaan kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, siasatan lanjut mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam nahas jalan raya itu.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. ā€” DayakDaily

Advertisement