Kereta dipandu seorang lelaki terjunam ke dalam Sungai Rajang, Sibu

Operasi SAR dilakukan di lokasi kejadian.

SIBU, 27 Mei: Sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki dikatakan terjunam jatuh ke dalam Sungai Rajang berdekatan Hotel Kingwood, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 12.40 tengah malam tadi.

Katanya, kejadian tersebut disedari oleh orang awam yang kemudian segera memaklumkan kepada pihak hotel untuk mendapatkan bantuan.


“Seorang lelaki (saksi) datang ke kauntera pendaftaran hotel dan memaklumkan sebuah kereta bergerak laju lalu melanggar penghadang jalan dan terjunam ke dalam sungai.

“Pasukan bomba bersama polis segera ke lokasi kejadian dan mendapati penghadang jalan telah terjatuh ke dalam sungai dan operasi pencarian awal menggunakan gripping iron dilakukan namun kenderaan tidak ditemui,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan disebabkan keadaan gelap dan faktor keselamatan.

“Operasi kemudian disambung pada jam 6 pagi tadi untuk melakukan pencarian awam menggunakan bot penyelamat,” katanya.

Difahamkan operasi SAR masih dijalankan.

Sementara identiti mangsa juga telah dikenali iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun.

Siasatan polis berhubung kejadian juga sedang giat dijalankan. — DayakDaily