Kereta dan motosikal turut terbakar dalam kebakan kuarters di Sibu

Kebakaran kuarters kerajaan di Sibu.

SIBU, 14 Mei: Sebuah kuarters kerajaan di Jalan Rubber, di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhuhung kejadian pada jam 8.56 malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu dan Sungai Merah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.


“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan bangunan jenis satu tingkat telah terbakar bersama kenderaan jenis Perodua Viva serta sebuah motosikal yang berada di ruangan parking kediaman telah terbakar.

“Komander operasi memaklumkan struktur yang terlibat dalam kebakaran merupakan sebuah kuarters bangunan kerajaan yang didiami sebuah keluarga ,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kesemua ahli keluarga yang terdiri daripada lima orang bagaimanapun tidak berada di rumah semasa kejadian.

“Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 11.17 malam.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily