Kerani wanita lesap RM159,450 ditipu sindiket ‘African Scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

SRI AMAN, April 4: Akibat termakan pujuk rayu lelaki kononnya dari luar negara, seorang kerani insurans terpaksa berputih mata apabila lesap wang sebanyak RM159,450 apabila ditipu sindiket ‘African Scam’.

Wanita berusia 40 tahun itu dikatakan telah berkenalan dengan suspek sejak Mac 2017, namun hanya membuat laporan polis berhubung kes berkenaan, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah berkenalan dengan suspek kononnya lelaki dari Amerika Syarikat menerusi Facebook (FB).

Katanya, sepanjang perkenalan itu, mangsa dan suspek sering berhubung dengan menggunakan aplikasi WhatsApp dan FB.

“Selepas itu, mangsa dikatakan terperdaya dengan helah suspek kononnya dia telah ditahan pihak Kastam apabila dia tiba di Malaysia.

“Suspek kemudian meminta mangsa melakukan beberapa transaksi pembayaran ke dalam akaun yang diberikan suspek,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, sejak tempoh itu, mangsa telah membuat beberapa transaksi pembayaran ke akaun suspek sejak Julai 2017 sehingga Disember tahun lepas.

Katanya, pembayaran yang dilakukan itu kononnya bagi bayaran pemeriksaan kesihatan, dokumen perjalanan yang tamat tempoh, denda pelepasan wang, bayaran tiket dan aktifkan akaun bank.

“Nilai keseluruhan wang yang dimasukkan mangsa ke dalam akaun suspek ialah sebanyak RM159,450.

“Suspek tidak membuat laporan polis awal kerana dia masih berharap suspek akan membayar balik wangnya,” jelasnya. — DayakDaily