Kerana cemburu kekasih, wanita diserang tiga individu

Dua suspek dalam kejadian ugut tersebut telah ditahan.
Advertisement

Oleh Jaythaleela K

MIRI, 2 Feb: Gara-gara cemburu dan bimbang teman lelakinya dirampas, seorang wanita bersama dua individu lain telah bertindak menyerang dan mengugut bunuh seorang wanita di dalam bilik sewanya pada malam Isnin (Februari 1) di Jalan Lee Tak di sini.

Insiden berlaku sekitar jam 8 malam semasa mangsa berusia 30 tahun itu sedang berada bersendirian di dalam bilik sewa tersebut, sebelum ketiga-tiga suspek (dua lelaki dan seorang wanita) menyerbu masuk dan menyerangnya.

Advertisement

Difahamkan, mangsa telah datang dari Lambir ke Bandaraya Miri untuk bertemu teman lelakinya yang mula dikenali sejak dua bulan lepas.

Mangsa dikatakan tidak mengetahui lelaki itu telahpun mempunyai teman wanita.

Menurut siasatan awal, salah seorang suspek yang datang pada malam itu adalah teman lelakinya sendiri.

Tidak hanya mengugut dan memarahi mangsa, suspek juga merosakan barang-barang peribadi mangsa dengan membaling ke arah mangsa termasuk kerusi di dalam bilik sewa tersebut.

Dalam kejadian itu juga, suspek wanita turut mengatakan akan mencederakan dan membunuh mangsa sekiranya mengganggu teman lelakinya.

Oleh kerana ketakutan, mangsa telah melarikan diri ke Balai Polis Pusat Miri untuk membuat laporan kerana ketiga-tiga suspek kelihatan semakin agresif.

Susulan kejadian, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) telah melakukan tangkapan pada awal pagi Selasa (2 Feb) sekitar jam 2.05 terhadap dua lelaki berusia 24 dan 35 tahun, termasuk teman lelaki suspek wanita, berhadapan sebuah hotel murah di Jalan Duranta.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan. — DayakDaily

Advertisement