Kerajaan sedia program bantu pengusaha buah-buahan di negeri ini

Uggah (kanan) bersama pelawat lain mempamerkan tembikai wangi keluaran Semukoi Agro Farm Sdn Bhd.

KUCHING, Nov 10: Kerajaan negeri sedia bantu pengusaha kebun buah-buahan yang komited untuk mengembangkan kegiatan pertanian mereka.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberi jaminan yang kerajaan telah menyediakan beberapa program untuk membantu pengusaha ini.

“Bantuan tersebut melibatkan pemberian geran dan pinjaman selain khidmat nasihat teknikal dan profesional.


“Di samping itu, kita juga akan mewujudkan pusat mengumpul, memproses dan membungkus iaitu CCPC untuk membantu mereka menjual hasil tanaman,” katanya.

Uggah berkata demikian semasa lawatan kerja ke Semukoi Agro Farm Sdn Bhd di KM79 Jalan Serian-Sri Aman hari ini.

Ladang tanaman tembikai wangi itu diusahakan peladang agro Terence S Landong.

Di sampimg itu, Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah gembira setelah ramai pengusaha tempatan melibatkan diri dalam industri buah-buahan.

“Mereka memainkan peranan membantu usaha kerajaan mencapai aspirasi menjadi negeri pengekspot makanan dan produk makanan terbesar pada tahun 2030.

“Mereka boleh menjadi sebahagian daripada pembekal yang penting.

“Saya harap mereka mengikut jejak langkah pengusaha yang telah berjaya dengan memiliki akreditasi MyGAP untuk membolehkan produk mereka dijual di pasaran luar,” katanya.

Uggah juga berkata ada keperluan untuk pengusaha melibatkan diri dalam bidang membekal benih buah-buahan.

Katanya, pembekal benih akan menjadi perniagaan yang besar setelah ramai orang melibatkan diri di dalam industri.

Dalam pada itu, Terence berkata ladang tembikai wangi beliau berkeluasan lima hektar dan bakal diperluaskan lagi dalam masa terdekat.

Beliau ingin menjadikan ladang beliau sebagai taman agro yang mampu menarik minat pelancong agro selain menjadi ladang kontrak.

Menurut Terence, pada bulan Mei dan Ogos lepas ladang beliau telah mengeluarkan 6,000kg dan 8,000kg tembikai wangi.

Selain tembikai wangi, ladang Terence juga mengusahakan tanamam strawberi, cili, halia dan buah-buahan yang lain. — DayakDaily