KUCHING, 21 Jun: Sebanyak 951 buah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri ini akan menerima Geran Pengurusan Rukun Tetangga dengan jumlah keseluruhan RM5,706,000.
Menurut Menteri Kebajikan Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, setiap rukun tetangga menerima RM6,000 di bawah Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga.
“Di antara pendekatan yang akan di ambil adalah memantapkan serta mengaktifkan struktur gerakan dan kepimpinan akar umbi seperti Rukun Tetangga.
“Ini dilakukan dengan menyemai kesedaran serta rasa tanggungjawab kepimpinan komuniti melalui Rukun Tetangga dan memantapkan program dan aktiviti perpaduan dan kesejahteraan komuniti.
“Serta meningkatkan penglibatan aktif komuniti dalam kesukarelawan setempat,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Pagi tadi Fatimah telah mengikuti taklimat pelan pemerkasaan yang turut dihadiri Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus dan Setiausaha Tetap KWKPK Dr Rashidah Bolhassan.
Taklimat sejajar dengan usaha Kementerian Perpaduan Negara untuk merealisasikan aspirasi di dalam Dasar Perpaduan Negara untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang harmonis, beridentiti sendiri serta merapatkan jurang hubungan sosial yang berpandukan kepada Perlembagaan dan Rukun Negara.
Untuk mencapai usaha tersebut tambah Fatimah, Kementerian Kebajikan Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak Kanak (KWKPK) telah menjadi rakan kongsi strategik kepada Kementerian Perpaduan Negara serta komited menjadi pendorong utama di dalam pelaksanaan teras dan pelan pemerkasaan ini.
Katanya, KWKPK akan bekerjasama secara pintar dan strategik dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri (JPNIN) Sarawak di Negeri Sarawak bagi tujuan ini. — DayakDaily