Kerajaan Sarawak ambil tindakan segera membaiki kerosakan Bangunan Pejabat Daerah Bau

Datu Jaul Samion - file pic

BAU, Ogos 22: Kerajaan Sarawak akan mengambil tindakan segera dengan membaiki bangunan Pejabat Daerah Bau yang rosak akibat angin ribut petang semalam.

Perkara ini telah dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datu Jaul Samion semasa ditanya media selepas menghadiri taklimat mengenai kerosakan Pejabat Daerah Bau di sini, hari ini.

“Kita mahu memastikan kejadian yang berlaku ini tidak menjejaskan keselamatan orang ramai yang berurusan di pejabat ini.


“Untuk itu, kita akan segera membaiki bangunan dan bahagian yang mengalami kerosakan akibat angin ribut.

“Dalam hal ini, kita juga mengambil perhatian dengan memberikan penekanan kepada keselamatan staf dan pekerja serta orang ramai yang berkunjung ke pejabat ini dalam membuat urusan harian,” katanya.

Pada hari ini, pihak kontraktor telah pun berjaya menyiapkan kerja membaiki bumbung yang rosak dalam tempoh 24 jam terutama di bahagian yang mengalami kerosakan teruk.

Terdahulu, Jaul yang baru sahaja diumumkan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak yang baharu telah bergegas ke Pejabat Daerah Bau selepas mengetahui kerosakan yang berlaku ke atas bangunan Pejabat Daerah Bau akibat angin ribut petang semalam.

Jaul turut memberitahu setakat ini tiada dokumen yang terjejas dan bangunan itu masih dapat digunakan selain mengurangkan operasi seketika bagi membolehkan keadaan kembali seperti biasa.

“Setakat ini dokumen-dokumen penting masih selamat dan ketika ini staf dan pegawai masih lagi berusaha membersihkan dokumen tersebut.

“Buat sementara waktu ini, kita juga akan mengurangkan operasi demi keselamatan pekerja dan orang ramai,” ujarnya.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ik Pahon Joyik. — DayakDaily