Empat lelaki maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan lori

Keadaan kemalangan melibatkan dua kenderaan di KM52, Jalan Sri Aman-Sarikei.

Oleh Dean Adam

SRI AMAN, Ogos 23: Empat lelaki maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan kereta di KM52, Jalan Sri Aman-Sarikei, awal pagi tadi.

Kemalangan kira-kira pukul 1.52 pagi itu telah mengakibatkan keempat-empat mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Empat mangsa yang maut itu dikenalpasti sebagai Mixzezly Herry, Roman Ensalit, Agustine Rentap Didi, 19, dan Dunstan Empawie, 29.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu, berkata berdasarkan maklumat diterima, sebelum kejadian kereta yang dipandu Mixzezly Herry bersama lima penumpang dikatakan dalam perjalanan dari arah Sarikei ke Sri Aman.

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 51 tahun tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta yang dinaiki mangsa.

Keadaan kemalangan melibatkan dua kenderaan di KM52, Jalan Sri Aman-Sarikei.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan kereta tersebut remuk teruk dan empat mangsa cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Insiden sama turut mengakibatkan dua lagi penumpang kereta tersebut cedera parah, namun pemandu lori tersebut tidak mengalami kecederaan,” katanya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, mayat semua mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, dua lagi mangsa yang cedera parah juga dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Polis juga telah merakamkan keterangan daripada pemandu lori tersebut untuk membantu siasatan kes.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. —DayakDaily